Friday, April 18, 2008

Ungu Karmila oleh Ramlee Awang Murshid





Membaca karya terbaru RAM ini telah membawa aku bersama ke dalam cerita yang dibawakan. Sungguh mendebarkan dan mengundang banyak pertanyaan di dalam benak aku sepanjang perjalanan cerita. Cerita di dalam novel ini membawa kita kepada banyak senario kejadian di mana setiap senario itu ada watak-wataknya yang tersendiri. Pembaca memerlukan penghayatan penuh untuk memahami kisah sebenar novel ini yang akhirnya pembaca akan mendapati bahawa setiap senario kejadian itu ada dan akan dikaitkan di antara satu sama lain.



Ungu Karmila membawa kisah tentang misteri sebuah vila lama berhampiran sebuah perkampungan orang Asli di Cameron Highland. Mengikut kepercayaan orang Asli di situ vila itu sangat berhantu dan akan membunuh sesiapa sahaja yang memasukinya. Vila lama ini mempunyai tragedinya tersendiri apabila penghuninya iaitu sepasang suami isteri (Arif dan Karmila ) dan pembantu rumah warga Indonesia telah ditemui mati dengan cara yang sangat mengerikan. Masyarakat mempercayai bahawa Arif telah membunuh isteri dan pembantu rumahnya namun tiada sesiapa yang mengetahui puncanya yang sebenar kecuali seorang tua yang dikenali Tok Batin yang telah lama mengenali keluarga itu.


Beberapa tahun kemudian selepas tragedi ngeri itu, vila ini sekali lagi membawa kepada tragedi pembunuhan. Jikon seorang anak muda orang Asli telah menjadi mangsa selepas memasuki vila tersebut. Dia telah membangunkan 'sesuatu' yang sedang tidur di vila itu yang menyebabkan ia marah.
Selang beberapa tahun kemudian, Ema adik Jikon cuba untuk merungkai misteri di sebalik kejadian di vila itu. Pada masa yang sama juga Arafat iaitu abang kepada Arif juga mempunyai misi yang sama untuk mebuktikan bahawa Arif tidak bersalah. Walaupun telah dilarang beberapa kali agar tidak mendekati vila itu, Ema tetap nekad untuk mencari kebenaran siapa pembunuh abangnya. Ema menguatkan hati memasuki vila itu dan hasil pertama dia telah menjumpai sebuah buku catatan seperti diari. Diari ini adalah milik pembantu rumah vila itu iaitu Bu Jainab. Melalui diari tersebut Ema semakin mengenali kehidupan penghuni vila itu sebelum ini tetapi pada masa yang sama Ema sering mengalami kejadian dan mimpi-mimpi yang aneh.
Manakala Arafat telah menugaskan beberapa orang yang beliau percayai untuk membongkar rahsia vila itu. Akhirnya Ema dan mereka yang telah diupah oleh Arafat berkumpul di vila misteri tersebut dengan misi yang serupa. Tragedi itu berulang kembali. Ema dan beberapa orang upahan telah menjadi mangsa yang seterusnya.
Dr Ismadi seorang kenalan Ema telah berjaya merungkai misteri itu walaupun ketika itu segala-galanya telah terlambat. Misteri itu telah dirungkai dan dikaji mengikut pandangan dan lojik sains di mana hasil penemuan mendapati sejenis bunga yang diberi nama Ungu Karmila itu adalah punca kepada segala kejadian.

0 comments: