Thursday, May 15, 2008

MEMBENTUK BUDAYA MEMBACA DI DALAM JIWA ANAK-ANAK

Setiap kali kalau diajukan pertanyaan tentang hobi, pasti jawapan saya tidak lain tidak bukan, iaitu membaca. Dan apabila ada yang bertanya jenis bacaan yang digemari, saya akan memberi jawapan bahawasa saya menggemari semua jenis bahan bacaan. Masih saya ingat, sewaktu di zaman persekolahan dulu, pantang nampak papan-papan iklan atau ‘signboard’ nama-nama jalan pun akan dibaca dengan suara yang kuat. Malahan sejak zaman persekolahan lagi sehingga kini memang tidak pernah ketinggalan membaca suratkhabar harian. Kebetulan juga arwah abah juga mempunyai hobi yang sama, lalu secara tidak langsung kami berkongsi kesukaan ini.

Mungkin saya di antara yang cukup bertuah kerana minat membaca ini telah wujud secara semulajadi dan bukannya dipaksa oleh sesiapa pun. Tidak perlu bersusah-payah untuk memaksa saya membaca dengan melonggokkan buku di hadapan saya, tetapi saya sendiri sanggup bersusah payah mencari buku yang hendak dibaca.

Adakah budaya suka membaca itu perlu diterap dan dibajai oleh kita sebagai ibubapa atau hanya mengharapkan kesukaan itu hadir secara semulajadi? Ini yang menjadi persoalannnya. Kita sebagai ibu bapa memang mengharapkan agar anak-anak turut mencontohi kita, tetapi hakikatnya tidak semudah itu.

Setiap manusia yang diciptakan adalah berbeza sikap dan kesukaannya dan mungkin ada di antara anak-anak hanya seorang sahaja yang mengikut. Namun, saya percaya bahawasanya kesukaan terhadap buku dan membaca khasnya boleh dibentuk dan diterapkan dari awal anak-anak itu lahir ke dunia, malahan ia boleh dididik sewaktu anak di dalam kandungan lagi.

Saya memang sangat percaya dengan teori ini kerana telah terlihat sedikit kesannya kepada anak-anak saya. Sepanjang tempoh mengandungkan kedua-dua orang anak, saya tetap meneruskan minat dan kesukaan membaca bermacam-macam jenis buku dan apa yang dapat saya lihat sekarang, kedua-duanya telah mula menunjukkan minat terhadap buku.

Seawal usia mereka 3 bulan ke 4 bulan, saya juga telah mula memperkenalkan mereka dengan bermacam-macam jenis buku yang sesuai saya kira, walaupun pada masa itu mereka belum dapat mengerti apa-apa. Malahan, sewaktu saya masih di dalam pantang bersalin sempat juga saya membaca sambil menyusukan anak.

Begitulah betapa dalam kegilaan dan kecintaan saya terhadap naskah yang bernama buku. Begitu juga apabila setiap kali keluar ke pusat membeli-belah saya tidak ketinggalan berkunjung ke kedai buku sehinggalah sekarang ini dan anak-anak pun turut saya bawa bersama agar mereka dibiasakan dan dimesrakan dengan dunia buku.

Pada saya, dengan membaca kita bukan sahaja menambah ilmu pengetahuan malah dapat meningkatkan penggunaan tatabahasa, memperkayakan tamadun bangsa dan juga menjadikan kita seorang yang mempunyai minda yang lebih terbuka dan luas.

Peranan ibu bapa dalam memperkembangkan minda dan kreativiti anak-anak adalah sangat besar. Suami dan isteri harus saling menyokong untuk memberi galakan kepada anak-anak dan pada ketika anak-anak mula menunjukkan kecenderungan dan minat terhadap buku, maka di sinilah peranan harus dimainkan dengan sebaik-baiknya.

Walau sesibuk manapun kita, untuk terus menanam minat dan memberi sokongan kepada mereka, kita harus bersedia tidak kira masa setiap kali mereka meminta untuk kita membacakan mereka buku. Anak-anak saya sendiri selalu meminta dibacakan buku untuk mereka terutamanya waktu saya sedang khusyuk membaca. Mungkin apabila kita berhadapan dengan perkara sebegini, kita merasakan bahawa anak-anak ini telah mengganggu tumpuan dan masa kita, tapi percayalah kita tidak harus kecewakan mereka. Jika ini berlarutan, tidak mustahil lama kelamaan minat mereka terhadap buku akan terhakis. Ditambah lagi dengan dunia sekarang di mana pengaruh televisyen dan permainan komputer yang begitu besar dan semakin berkembang, tidak mustahil anak-anak akan lebih mudah beralih minat dan kesukaannya.

Sebagai ibu bapa juga, kita tidak harus terlalu berkira setiap bulan untuk membuat pelaburan membeli buku-buku bersesuaian untuk anak-anak. Kita tidak boleh terlalu pentingkan diri dan hanya memikirkan untuk mengisi minda dan keperluan sendiri. Peruntukan setiap bulan untuk membeli bahan bacaan tertentu untuk seisi keluarga harus dimasukkan dalam akaun belanjawan keluarga.

Membina sebuah mini perpustakaan di rumah juga merupakan satu langkah baik untuk menggalakkan seisi keluarga mencintai dan mendekati dunia buku. Dengan peruntukan khas setiap bulan untuk beberapa buah buku, mini perpustakaan yang dibina akan semakin bertambah koleksinya. Saya sendiri sedang mengusahakan untuk mengemaskini koleksi buku-buku di rumah untuk dijadikan sebuah mini perpustakaan. Di samping itu, juga sedang menyiapkan satu sistem mudah untuk merekod semua senarai buku yang ada untuk memudahkan saya membuat pencarian dan merekod buku-buku yang telah dibeli, belum dibeli dan akan dibeli.

Moga usaha-usaha begini dapat membantu dalam mempertingkatkan rasa kecintaan di dalam jiwa anak-anak terhadap pencarian ilmu. Sesungguhnya manusia, tanpa ilmu tidak akan kemana-mana malahan jiwanya juga akan semakin kekosongan dan ketandusan.