Saturday, April 12, 2008

Rindu Cintaku karya Fauziah Ashari



Baru habis membaca novel ini semalam. Novel terbaru Fauziah ini adalah sambungan 2 novelnya sebelum ini iaitu Ombak Rindu dan Cinta...Tiada Akhirnya. Ketiga-tiga novelnya ini menumpukan kepada kehidupan yang dilalui dua watak utamanya Hariz dan Izzah. Pada asalnya perasaan sangat teruja untuk mengetahui sambungan kisah Hariz dan Izzah dalam novel terbaru Fauziah ini. Walaubagaimanapun setelah membaca sehingga ke beberapa bab, perasaan teruja ini semakin mengendur apabila sekali lagi pelbagai konflik terjadi yang cuba menguji perhubungan mereka berdua. Membaca buku ini, aku seakan-akan menonton drama bersiri telenovela seperti yang ditayangkan di televisyen. Menunggu kesudahan cerita yang dipenuhi dengan pelbagai konflik sangat meletihkan. Kali ini bacaan aku tidak begitu dihayati kerana awal-awal lagi telah menyelak helaian akhir untuk mengetahui kesudahan cerita.


Secara ringkasnya Rindu Cintaku menyambung tentang kisah Izzah yang sedang dalam proses memulihkan kembali ingatannya yang telah hilang. Izzah telah kembali bersama Hariz dan Hariz sendiri berusaha keras untuk memulihkan ingatan Izzah di samping bantuan dari pakar psikiatri. Namun di dalam proses pemulihan itu, kehidupan mereka mula diduga lagi. Hariz terpaksa menghadapi kerenah Hazirah (adik angkatnya) yang sering mencari kesalahannya sejak menerajui Sufiah Holding. Pergolakan dan perbalahan kedua-dua beradik itu sememangnya telah dirancang oleh musuh lama Hariz yang mendendaminya. Rancangan ini hampir berjaya apabila Hariz berjaya disingkirkan dari Sufiah Holding. Dalam masa yang sama Hariz sendiri terpaksa berhadapan dengan Izzah yang semakin dingin dan seolah-olah masih ragu-ragu tentang cinta Hariz terhadapanya. Di dalam diri Izzah sendiri wujud pelbagai macam perasaan, ada saatnya dia merasa Hariz itu seorang pencinta sejati tetapi ada kalanya tidak rentetan sikap Hariz sendiri panas baran, cepat marah dan nampak bengis. Izzah menjadi semakin keliru. Konflik semakin meruncing apabila Hariz dituduh bertanggungjawab menghamilkan bekas adik iparnya Elin dan dia juga telah dipaksa berkahwin. Dalam masa yang sama Hariz diugut agar menceraikan Izzah sekiranya tidak mahu kisah silamnya bersama Izzah dihebahkan. Kali ini Hariz terpaksa menceraikan Izzah. Izzah telah membawa diri ke London untuk memulakan hidup baru. Seperti biasa, di akhir cerita kebenaran pasti terserlah. Hariz tidak jadi berkahwin dengan Elin. Setelah 4 tahun Izzah kembali ke tanahair dan bertemu semula dengan Hariz yang telah banyak berubah sejak dia pulang dari menunaikan haji. Lalu cinta mereka bertaut kembali. Mungkin ini novel ini adalah kesudahannya cinta Izzah dan Hariz. Bagi mereka yang mengikuti kisah cinta ini sejak novel Ombak Rindu pasti tidak akan melepaskan peluang mendapatkan Rindu Cintaku.

1 comments:

khay ke'ai said...

angah, visit dis blog...:
http://noorsuraya.blogdrive.com
noor suraya nya blog