Friday, June 13, 2008




KETIKA CINTA BERTASBIH EPISOD 1 & 2

Merupakan sebuah lagi karya Habiburrahman El Shirazy di mana Episod 1 berlatar tempat di Universiti Al- Azhar, Mesir manakala Episod 2 di Indonesia. KCB Episod 1membawa kisah seorang pelajar tahun akhir Universiti Al- Azhar iaitu Khairul Azzam yang berjuang menamatkan pelajarannya di samping berusaha mencari pendapatan sampingan demi membiayai pengajiannya dan juga untuk perbelanjaan keluarganya di Indonesia. Kehidupan Khairul Azzam dan keluarga bertambah getir semenjak kematian bapanya sewaktu beliau di tahun kedua pengajian. Hanya berbekalkan perniagaan bakso di bumi Mesir, kegigihan dan kepayahan yang dilalui beliau berbaloi apabila beliau akhirnya berjaya juga menggenggam segulung ijazah. Kehidupan beliau di bumi Mesir juga diserikan dengan kisah percintaan dan persahabatan. Kisah cinta tidak kesampaian kepada Anna Althafunnisa, perkenalannya dengan Eliana anak Duta Besar Indonesia di Mesir dan kisah kehidupan bersama sahabat-sahabat seperjuangannya memberi seribu keinsafan dalam diri.

Kisah Khairul Azzam diteruskan dalam KCB Episod 2. Khairul Azzam akhirnya pulang ke kampung di Indonesia selepas tamat pengajian. Bersyukur dengan kehidupan yang dilaluinya apabila melihat adik-adiknya berjaya di dalam pelajaran malah bertambah bahagia melihat wajah ceria ibunya melihat semua anak-anak berjaya baik dalam pengajian mahupun kehidupan. Khairul Azzam meneruskan perniagaan baksonya di Indonesia malah perniagaannya semakin berkembang dengan resepi istimewanya bakso cinta. Dalam masa yang sama juga, beliau berusaha mencari pasangan hidup walaupun hatinya masih terkenang akan Anna Althafunnisa. Harapannnya untuk bersama Anna semakin hilang apabila Anna ditunangkan dengan Furqan yang juga rakan sepengajiannya. Tanpa disedari Khairul Azzam sendiri, Anna juga sebenarnya telah jatuh hati kepadanya. Kesudahan kisah Khairul Azzam dan Anna semamangnya telah ditakdirkan.

Menelusuri bait-bait kisah dalam 2 novel ini, banyak membuka minda dan memberi keinsafan bahawa dalam hidup ini harus ada usaha untuk berjaya, pasrah menerima takdir Ilahi dan semakin mendekatkan kita kepada Pencipta. Novel ini sememangnya sebuah novel motivasi dan pembangun jiwa.

Friday, June 6, 2008

Malas atau sibuk ?

Sejak bulan April hingga Mei ini sudah beberapa buah buku yang telah habis dibaca. Walaupun waktu atau ruang masa itu semakin sempit, kegemaran yang satu ini memang tidak boleh ditinggalkan begitu saja. Saya tetap mencuri sedikit waktu yang ada untuk bergaul dan bermesra dengan buku-buku yang ada. Cuma tidak ada kesempatan untuk membuat ulasan di sini.

Saya sendiri tidak pasti sama ada masa itu tidak ada atau kemalasan yang sedang melanda. Sebabnya, kadang-kadang ruang itu ada tetapi lebih rela melayan tidur dan berulit dengan mimpi yang belum tentu indah atau mengerikan.