Saturday, January 23, 2010

~ Dear Yayah Sejuknya Eau Claire ~


Novel pertama yang dibeli tahun ini dan yang pertama dibaca bulan ini. Kesibukan dan tekanan kerja yang di bawa dari hujung tahun lepas membuat saya memilih untuk membaca yang ringan-ringan saja. Tidak berdaya untuk membebankan fikiran dengan topik dan tema yang berat yang boleh menambah tekanan.

Sebetulnya saya telah membaca siri Dear Yayah ini sejak dikeluarkan kali pertama sehinggalah siri yang keempat. Saya juga tidak pernah membeli sendiri siri ini dan hanya meminjam dari adik bongsu. Seingat saya, Dear Yayah 3 saya beli untuk dihadiahkan kepada adik bongsu sempena hari jadinya. Tidak di sangka pula sebaik saja Dear Yayah terbaru ini diterbitkantelah menggerakkan hati saya untuk membeli seterusnya memilikinya.

Jika empat sirinya terdahulu berkisar tentang kehidupan alam persekolahan Jihan dan rakan-rakannya, siri kali ini membawa kita mengembara lebih jauh. Jauh hingga merentas Laut China Selatan. Kali ini Jihan menyambung pelajarannya di Univercity of Wisconsin-Eau Claire bersama rakan baiknya Suria. Lalu sudah boleh dibayangkan bahawa siri kali ini pasti penuh dengan kisah suka duka Jihan menjalani hidup di perantauan. Jihan juga masih lagi meneruskan perhubungannya dengan Azman. Perhubungan mereka diteruskan melalui surat yang dikirim setiap minggu memandangkan Azman memilih menyambung pelajaran di sebuah unversiti tempatan.

Begitu indahkan kehidupan waktu remaja. Pelbagai pengalaman baru ditempuh Jihan, berkenalan dengan rakan-rakan seperjuangan yang baru malah belajar hidup berdikari di tempat orang. Nampakya kali ini Jihan sangat gembira dan menikmati kehidupannya sebagai pelajar di Eau Claire dengan baik sekali. Malah Dear Yayah (diari Jihan) masih tetap menjadi peneman dan pendengar setia luahan hati, jiwa dan perasaan Jihan.

Rasa-rasanya macam akan ada sambungan lagi siri Dear Yayah ni. Sekurang-kurangnya saya dapat meredakan tekanan dan sesekali tu ada juga terbayang-bayang bahawa saya pun sedang bersama-sama Jihan di Eau Claire. Terutamanya saat pertama kali Jihan dan rakan-rakannya melihat salji yang turun saat musim sejuk tiba di Eau Claire. Alangkah seronoknya seandainya dapat turut sama menikmati keindahan itu.

0 comments: