Sejak membaca novel Bohemian, saya mula tertarik dengan gaya penulisan Imaen. Karya beliau ada ciri-ciri thriller namun tidak terlalu ekstrim dan sangat sederhana. Saya ternanti-nanti novel terbaru beliau dan Sigaraning akhirnya muncul.
Sigaraning? Saya tidak tertarik pada judulnya tetapi disebabkan penulisnya Imaen maka saya harus memiliki naskah ini. Pelik juga sebenarnya dengan judul novel beliau yang terbaru ini, apa maksudnya Sigaraning itu? Mujurlah diawal-awal cerita lagi sudah diterangkan maknanya iaitu 'belahan jiwa'. Sigaraning itu asalnya dari bahasa Jawa halus. Sangkaan saya cerita kali ini macam jiwang-jiwang sikit. Masih ada jiwang tapi masih tidak lari dengan thriller.
Watak utamanya Ali Imran tidaklah seperti hero-hero idaman yang digambarkan dalam novel-novel cinta lain. Ali Imran hanya lelaki biasa yang mengusahakan sebuah kedai runcit dan dibelenggu dengan segala masalah dalam hidup. Namun ada sesuatu yang istimewa dalam Ali Imran.
Kisah bermula pada satu malam, Ali Imran yang kecewa kerana putus cinta ditambah dengan masalah keluarga di kampung dengan tidak sengaja menyaksikan satu kemalangan ngeri antara 2 kumpulan samseng. Tidak disangka-sangka, kemalangan tersebut telah menemukan Ali dengan sejumlah wang bernilai RM2 juta dan juga sebuah beg berisi dadah. Dalam keadaan jiwa yang kalut dan serabut Ali telah mengambil barang berharga tersebut. Fikirnya ia dapat menyelesaikan masalah bapanya di kampung. Namun tidak sampai beberapa lama, mungkin kerana akal fikirannya telah waras, Ali mula menyesali tindakannya. Walau apapun segalanya telah terlambat, Ali bimbang masalahnya akan meleret-leret jika dia memulangkan 'barang' tersebut. Lalu dalam keadaan terpaksa Ali menyimpan wang 'barang' tersebut. Sejak itu, hidupnya diselubungi rasa bersalah dan disebabkan rasa bersalah itulah juga Ali tidak menggunakan walau sesen pun wang yang ditemui itu. Kebetulan pula masalah di kampung dapat ditangguh buat sementara waktu.
Dalam masa yang sama, di mana dalam rasa kecewa ditinggalkan Salina kekasihnya, Ali dipertemukan secara tidak sengaja dengan Vivian. Vivian adalah kenalan lamanya sewaktu di universiti dan perkenalan tersebut bukanlah bermula dengan baik malah mereka juga pernah berseteru. Namun sejak pertemuan tidak sengaja itu mereka menjadi baik dan sudah timbul bibit-bibit cinta dan rindu dalam diri Vivian walaupun sering dinafikan. Namun begitu, Ali menghadapi masalah atau cabaran yang sangat besar kerana Vivian walaupun dilahirkan dalam Islam telah menjadi seorang Atheist (tidak percaya adanya Tuhan) sejak kedua-dua ibubapanya meninggal. Sejak itu, Vivian seperti merajuk dengan Tuhan tambahan pula dia dijaga oleh bapa dan ibu saudara sebelah bapanya yang bukan beragama Islam maka makin jauhlah Vivian dengan Islam.
Selepas beberapa lama sejak kejadian tidak sengaja itu, Ali mula diburu oleh kedua-dua kumpulan samseng dan juga polis. Kebetulan ada saksi yang nampak kereta Kancil si Ali turut berada di tempat kejadian malam itu. Walau dalam keadaan apa pun Ali masih tenang dan cuba mencari jalan untuk menyelesaikan masalahnya itu. Atas nasihat dari imam masjid di tempatnya, secara senyap-senyap tanpa pengetahuan sesiapa Ali telah mendermakan kesemua wang tersebut manakala dadah itu pula telah dibuangnya ke laut. Namun masalahnya masih belum selesai dan Ali masih diburu. Sehinggalah seorang kawan baiknya mati dibunuh oleh geng samseng tersebut, maka Ali akhirnya bekerjasama dengan seorang detektif polis untuk memerangkap geng tersebut. Walaupun kes tersebut telah berjaya diselesaikan, namun tidak siapa pun tahu bahawa Ali yang menjumpai 'barang' tersebut.
Perasaan cinta juga telah berjaya membawa Vivian kembali kepada ajaran Islam dengan bimbingan Ali.