Saturday, January 23, 2010

~ Dear Yayah Sejuknya Eau Claire ~


Novel pertama yang dibeli tahun ini dan yang pertama dibaca bulan ini. Kesibukan dan tekanan kerja yang di bawa dari hujung tahun lepas membuat saya memilih untuk membaca yang ringan-ringan saja. Tidak berdaya untuk membebankan fikiran dengan topik dan tema yang berat yang boleh menambah tekanan.

Sebetulnya saya telah membaca siri Dear Yayah ini sejak dikeluarkan kali pertama sehinggalah siri yang keempat. Saya juga tidak pernah membeli sendiri siri ini dan hanya meminjam dari adik bongsu. Seingat saya, Dear Yayah 3 saya beli untuk dihadiahkan kepada adik bongsu sempena hari jadinya. Tidak di sangka pula sebaik saja Dear Yayah terbaru ini diterbitkantelah menggerakkan hati saya untuk membeli seterusnya memilikinya.

Jika empat sirinya terdahulu berkisar tentang kehidupan alam persekolahan Jihan dan rakan-rakannya, siri kali ini membawa kita mengembara lebih jauh. Jauh hingga merentas Laut China Selatan. Kali ini Jihan menyambung pelajarannya di Univercity of Wisconsin-Eau Claire bersama rakan baiknya Suria. Lalu sudah boleh dibayangkan bahawa siri kali ini pasti penuh dengan kisah suka duka Jihan menjalani hidup di perantauan. Jihan juga masih lagi meneruskan perhubungannya dengan Azman. Perhubungan mereka diteruskan melalui surat yang dikirim setiap minggu memandangkan Azman memilih menyambung pelajaran di sebuah unversiti tempatan.

Begitu indahkan kehidupan waktu remaja. Pelbagai pengalaman baru ditempuh Jihan, berkenalan dengan rakan-rakan seperjuangan yang baru malah belajar hidup berdikari di tempat orang. Nampakya kali ini Jihan sangat gembira dan menikmati kehidupannya sebagai pelajar di Eau Claire dengan baik sekali. Malah Dear Yayah (diari Jihan) masih tetap menjadi peneman dan pendengar setia luahan hati, jiwa dan perasaan Jihan.

Rasa-rasanya macam akan ada sambungan lagi siri Dear Yayah ni. Sekurang-kurangnya saya dapat meredakan tekanan dan sesekali tu ada juga terbayang-bayang bahawa saya pun sedang bersama-sama Jihan di Eau Claire. Terutamanya saat pertama kali Jihan dan rakan-rakannya melihat salji yang turun saat musim sejuk tiba di Eau Claire. Alangkah seronoknya seandainya dapat turut sama menikmati keindahan itu.
~ Sudah Lama ~

Sudah lama saya tinggalkan rumah ni. Dah penuh sawang juga nampaknya. Kini saya kembali, harus lebih gigih lepas ini untuk meriahkan semula ruang-ruang yang ada ini. Kalau diikutkan sepanjang tahun lepas puluhan buku telah saya nikmati. Namun itulah, dek kekangan masa, tidak berdaya saya untuk mengulas semuanya di sini. Malahan masa untuk berulit dengan buku-buku itu sendiri sudah semakin tiada. Kadang-kadang itu, saya terpaksa menyelit di celah-celah masa yang sempit itu untuk berdua-duaan dengan buku.

Tahun ini, saya kembali dengan resolusi baru. Saya akan berusaha serajin yang mungkin untuk mengulas setiap buku yang saya baca di sini, insyaallah. Diharap tidaklah resolusi ini hanya seperti 'hangat-hangat tahi ayam'.

Tuesday, January 19, 2010

:: Jom ramai-ramai ::

Kalau berminat untuk beli buku-buku atau novel dengan harga istimewa, jom kita pergi ke Karnival Alaf 21 pada 29 Jan 2010 hingga 1 Feb 2010. Rasanya banyak aktiviti diadakan, malah masa ni juga boleh berjumpa dengan penulis-penulis kegemaran. 'Entry' ini juga sebenarnya untuk log acara ini untuk saya supaya tidak lupa. Hmmm.... novel baru Norzailina Nordin akan dijual di sini, pasti dengan harga istimewa, mesti kena beli nih. Pencinta buku... jom ramai-ramai.

~ mari meluncur di lautan minda ~