Thursday, May 28, 2009

Baru sahaja menghabiskan bait-bait terakhir novel terbaru John Norafizan ini. Ternyata kelainan yang sangat ketara dari karya-karya beliau sebelum ini. Kali ini JN membawa kita mengembara jauh ke negeri Jepun dan juga Turki. Dari awal hingga akhir cerita, ia bagaikan sebuah pengembaraan yang tidak akan berakhir. Kita sendiri sebagai pembaca secara tidak langsung menjadi pengembara bersama-sama watak utamanya iaitu Akira. Novel ini saya kira sebuah pencarian dalam sebuah kehidupan. Akira yang mencari arah hidupnya yang penuh kekesalan sehingga pencarian itu membawanya dari bumi Jepun hingga ke Turki. Dalam pencariannya juga telah mempertemukannya dengan pelbagai watak lagi antaranya Yamata, Doktor Ayumi, Kafka, Emre, Qistina dan Nakamura. Kisah bermula dari tragedi yang meragut nyawa ibu dan adiknya, Umazaki yang telah memberi kekesalan dalam diri Akira. Ditambah lagi dengan kehilangan ayahnya akibat salah faham yang juga timbul dari Akira. Akibat rasa kekesalan itu yang membawa kepada pengembaraan dan pencarian Akira. Dari seorang yang telah patah semangat dalam meneruskan hidup, Akira berubah menjadi insan yang lebih kuat dan tahu apa yang diinginkan dalam hidupnya dan perubahan itu terjadi selepas dia melalui pelbagai peristiwa, bertemu dengan pelbagai manusia dengan bermacam kisah. Hakikatnya begitulah kehidupan manusia, pandangan dan kisah hidup manusia lain merupakan panduan untuk kita meneruskan kehidupan seterusnya memperbaiki kehidupan itu sendiri. Paling penting dalam novel ini, mengingatkan kita bahawa setiap kebaikan yang kita lakukan pasti akan dibalas dengan kebaikan juga walaupun ketika itu kita sedang dalam kesusahan. Begitu juga dengan takdir Tuhan, bukan kita manusia biasa yang berhak menetukannya. Hanya Dia yang berkuasa membuat segala keputusan. Kita sebagai hamba hanya mampu berusaha dan berdoa.