Saturday, April 26, 2008

Tentang Dhiya karya Syud


Sebuah novel dengan gaya bahasa yang begitu santai malah menghiburkan. Masih membawakan tema percintaan muda mudi hingga kadang-kadang membawa kita kepada kenangan lalu, seolah-olah ianya cerita cinta sendiri.

Tentang Dhiya membawa kisah pelajar universiti dengan seribu kisah kehidupan mereka dan tentunya paling utama kisah cinta mereka. Ada cinta yang tidak kesampaian, ada rasa yang kecewa, adakala rasa bahagia, ada rasa yang tidak terluah dan adalaka tidak menyedari rasa itu hadir.

Kadang-kadang perhubungan itu terputus tapi beberapa tahun kemudian dan mungkin telah ditakdirkan mereka bertemu lagi. Dan kali ini mereka tidak harus membuang masa lagi kerana cinta itu kadang-kadang hadir tanpa kita sedari. Begitulah warna-warni dalam Tentang Dhiya.

Garis Garis Deja Vu - John Norafizan

Mengenali karya John Norafizan(JN) sejak membaca Tunjukkan Aku Satu Bintang, kemudian ada seseorang memberitahu bahawa untuk lebih memahami Tunjukkan Aku Satu Bintang(TASB) harus membaca Sempadan Tanpa Seri(STS). Ya...memang betul apa yang diberitahu itu.

Sejak itu terus menanti karya terbaru JN sehingga Cinderella Cinta dan kini Garis Garis DejaVu(GGDV). JN membawa tema percintaan yang lain dari kebiasaan, itulah uniknya. Membaca Garis Garis DejaVu, mengingatkan kembali pada watak-watak dan cerita di dalam TASB dan STS dan paling utama watak Father Thomas Rodriguez masih menjadi watak antagonis utama di dalam GGDV.

Walaubagaimanapun GGDV bukanlah sambungan atau trilogi kepada TASB dan STS kerana latar cerita dan watak-wataknya adalah berbeza. GGDV membawa kepada pencarian manusia dalam mencari diri dan Tuhannya, mencari kasih sayang dan makna kasih sayang itu, mencari makna kehidupan itu sendiri. Dalam pencarian itu mereka melalui dan menemui bermacam kisah kehidupan, cabaran dan dugaan yang tidak mereka jangka.

Sebagai pembaca, kita seolah-olah turut sama dalam pencarian itu. Ada debaran dalam jiwa, ada resah dan gelisah juga ada rasa bahagia dan kadangkala semacam dejavu.

Wednesday, April 23, 2008

HARI BUKU SEDUNIA

Hari ini 23 April 2008 merupakan hari buku sedunia. Bagi pencinta buku, pastinya hari ini adalah hari yang diingati. I really love books.

Friday, April 18, 2008

Ungu Karmila oleh Ramlee Awang Murshid





Membaca karya terbaru RAM ini telah membawa aku bersama ke dalam cerita yang dibawakan. Sungguh mendebarkan dan mengundang banyak pertanyaan di dalam benak aku sepanjang perjalanan cerita. Cerita di dalam novel ini membawa kita kepada banyak senario kejadian di mana setiap senario itu ada watak-wataknya yang tersendiri. Pembaca memerlukan penghayatan penuh untuk memahami kisah sebenar novel ini yang akhirnya pembaca akan mendapati bahawa setiap senario kejadian itu ada dan akan dikaitkan di antara satu sama lain.



Ungu Karmila membawa kisah tentang misteri sebuah vila lama berhampiran sebuah perkampungan orang Asli di Cameron Highland. Mengikut kepercayaan orang Asli di situ vila itu sangat berhantu dan akan membunuh sesiapa sahaja yang memasukinya. Vila lama ini mempunyai tragedinya tersendiri apabila penghuninya iaitu sepasang suami isteri (Arif dan Karmila ) dan pembantu rumah warga Indonesia telah ditemui mati dengan cara yang sangat mengerikan. Masyarakat mempercayai bahawa Arif telah membunuh isteri dan pembantu rumahnya namun tiada sesiapa yang mengetahui puncanya yang sebenar kecuali seorang tua yang dikenali Tok Batin yang telah lama mengenali keluarga itu.


Beberapa tahun kemudian selepas tragedi ngeri itu, vila ini sekali lagi membawa kepada tragedi pembunuhan. Jikon seorang anak muda orang Asli telah menjadi mangsa selepas memasuki vila tersebut. Dia telah membangunkan 'sesuatu' yang sedang tidur di vila itu yang menyebabkan ia marah.
Selang beberapa tahun kemudian, Ema adik Jikon cuba untuk merungkai misteri di sebalik kejadian di vila itu. Pada masa yang sama juga Arafat iaitu abang kepada Arif juga mempunyai misi yang sama untuk mebuktikan bahawa Arif tidak bersalah. Walaupun telah dilarang beberapa kali agar tidak mendekati vila itu, Ema tetap nekad untuk mencari kebenaran siapa pembunuh abangnya. Ema menguatkan hati memasuki vila itu dan hasil pertama dia telah menjumpai sebuah buku catatan seperti diari. Diari ini adalah milik pembantu rumah vila itu iaitu Bu Jainab. Melalui diari tersebut Ema semakin mengenali kehidupan penghuni vila itu sebelum ini tetapi pada masa yang sama Ema sering mengalami kejadian dan mimpi-mimpi yang aneh.
Manakala Arafat telah menugaskan beberapa orang yang beliau percayai untuk membongkar rahsia vila itu. Akhirnya Ema dan mereka yang telah diupah oleh Arafat berkumpul di vila misteri tersebut dengan misi yang serupa. Tragedi itu berulang kembali. Ema dan beberapa orang upahan telah menjadi mangsa yang seterusnya.
Dr Ismadi seorang kenalan Ema telah berjaya merungkai misteri itu walaupun ketika itu segala-galanya telah terlambat. Misteri itu telah dirungkai dan dikaji mengikut pandangan dan lojik sains di mana hasil penemuan mendapati sejenis bunga yang diberi nama Ungu Karmila itu adalah punca kepada segala kejadian.

Saturday, April 12, 2008

Rindu Cintaku karya Fauziah Ashari



Baru habis membaca novel ini semalam. Novel terbaru Fauziah ini adalah sambungan 2 novelnya sebelum ini iaitu Ombak Rindu dan Cinta...Tiada Akhirnya. Ketiga-tiga novelnya ini menumpukan kepada kehidupan yang dilalui dua watak utamanya Hariz dan Izzah. Pada asalnya perasaan sangat teruja untuk mengetahui sambungan kisah Hariz dan Izzah dalam novel terbaru Fauziah ini. Walaubagaimanapun setelah membaca sehingga ke beberapa bab, perasaan teruja ini semakin mengendur apabila sekali lagi pelbagai konflik terjadi yang cuba menguji perhubungan mereka berdua. Membaca buku ini, aku seakan-akan menonton drama bersiri telenovela seperti yang ditayangkan di televisyen. Menunggu kesudahan cerita yang dipenuhi dengan pelbagai konflik sangat meletihkan. Kali ini bacaan aku tidak begitu dihayati kerana awal-awal lagi telah menyelak helaian akhir untuk mengetahui kesudahan cerita.


Secara ringkasnya Rindu Cintaku menyambung tentang kisah Izzah yang sedang dalam proses memulihkan kembali ingatannya yang telah hilang. Izzah telah kembali bersama Hariz dan Hariz sendiri berusaha keras untuk memulihkan ingatan Izzah di samping bantuan dari pakar psikiatri. Namun di dalam proses pemulihan itu, kehidupan mereka mula diduga lagi. Hariz terpaksa menghadapi kerenah Hazirah (adik angkatnya) yang sering mencari kesalahannya sejak menerajui Sufiah Holding. Pergolakan dan perbalahan kedua-dua beradik itu sememangnya telah dirancang oleh musuh lama Hariz yang mendendaminya. Rancangan ini hampir berjaya apabila Hariz berjaya disingkirkan dari Sufiah Holding. Dalam masa yang sama Hariz sendiri terpaksa berhadapan dengan Izzah yang semakin dingin dan seolah-olah masih ragu-ragu tentang cinta Hariz terhadapanya. Di dalam diri Izzah sendiri wujud pelbagai macam perasaan, ada saatnya dia merasa Hariz itu seorang pencinta sejati tetapi ada kalanya tidak rentetan sikap Hariz sendiri panas baran, cepat marah dan nampak bengis. Izzah menjadi semakin keliru. Konflik semakin meruncing apabila Hariz dituduh bertanggungjawab menghamilkan bekas adik iparnya Elin dan dia juga telah dipaksa berkahwin. Dalam masa yang sama Hariz diugut agar menceraikan Izzah sekiranya tidak mahu kisah silamnya bersama Izzah dihebahkan. Kali ini Hariz terpaksa menceraikan Izzah. Izzah telah membawa diri ke London untuk memulakan hidup baru. Seperti biasa, di akhir cerita kebenaran pasti terserlah. Hariz tidak jadi berkahwin dengan Elin. Setelah 4 tahun Izzah kembali ke tanahair dan bertemu semula dengan Hariz yang telah banyak berubah sejak dia pulang dari menunaikan haji. Lalu cinta mereka bertaut kembali. Mungkin ini novel ini adalah kesudahannya cinta Izzah dan Hariz. Bagi mereka yang mengikuti kisah cinta ini sejak novel Ombak Rindu pasti tidak akan melepaskan peluang mendapatkan Rindu Cintaku.

Friday, April 11, 2008

Permulaan

Mengambil sempena Pesta Buku Antarabangsa 2008 yang sedang berlangsung, aku ingin memulakan langkah pertamaku untuk berkongsi pandangan dan ulasanku di dunia blog terhadap buku-buku yang pernah aku baca. Setiap ulasan dan pandangan adalah dari sudut peribadiku sendiri dan moga dapat aku kongsi bersama-sama dengan sesiapa sahaja yang turut ingin berkongsi. Minat ini telah lama wujud sejak aku di zaman sekolah lagi hinggalah kini. Sehari tanpa buku, aku rasakan hidup ini seperti ada kekosongan. Mungkin dulu aku tak mampu untuk memiliki walau sebuah buku sebulan, tapi kini alhamdulillah............koleksi buku telah semakin bertambah di rak buku ku dan insyaallah akan bertambah dari semasa ke semasa.

Aku telah berkesempatan mengunjungi pesta buku tahun ini pada 8 April. Sengaja ambil cuti pada hari tersebut sempena hari jadiku dan aku rasa inilah hari jadi yang paling seronok sebab dapat bersantai-santai dan bersendiri di pesta buku. Inilah masanya untukku memberi peluang pada diriku menjelajah ke setiap sudut pameran dan jualan sambil mencari buku-buku kegemaran untuk menambah koleksi. Hasil penjelejahan akhirnya aku membawa pulang lebih kurang 9 buah buku dan inilah buku-buku yang bakal aku ulas nanti di sini.